Peristiwa Di Rumah Jiran
Setiap kali saya terserempak dengan Encik Ali, jiran kami yang berusia 80 tahun, saya menggigil ketakutan. Walaupun Encik Ali kecil dan kurus, suaranya lantang. Jelingan matanya menusuk kalbu dan kata-kata pedasnya boleh menghantui mimpi kanak-kanak. Oleh sebab itu, penduduk Kampung Murni menyisihkan Encik Ali dan jarang bertegur sapa dengannya. Walaubagaimanapun, sesuatu kejadian telah mengubah persepsi saya selama-lamanya.
Pada hari itu, saya tertendang bola ke dalam halaman rumahnya. Saya berjalan ke pintu pagar Encik Ali dan memicit loceng dengan terketar-ketar. Apabila lelaki tua itu keluar dari pintu depan rumahnya, saya terkencing dalam seluar.
“Saya minta maaf, pak,” saya mengujar secepat mungkin. Saya pasti Encik Ali akan menghancurkan saya dengan tenungannya tetapi Encik Ali cuma tersenyum mesra. Dia mengajak saya masuk dan menghidangkan segelas jus oren. Dengan perasaan sebak bercampur nostalgia, dia berkata, “Saya masih ingat lagi apabila usia saya sama denganmu. Saya pun suka bermain bola.”
Encik Ali kemudian menghiburkan saya dengan cerita dari zaman silamnya. Dia menceritakan kisah-kisah pengembaraan, persahabatan, perpisahan, kejayaan dan kekalahannya. Saya terpesona mendengar pahit manis hidup Encik Ali.
Saya meninggalkan rumahnya bukan sahaja dengan bola saya tetapi juga dengan rasa hormat dan kagum terhadap jiran saya yang sebelum ini saya geruni. Encik Ali, yang pernah dianggap sebagai pemarah, rupa-rupanya seorang insan yang baik dan kaya dengan pengalaman hidup. Pertemuan ini mengajar saya betapa pentingnya untuk tidak menilai orang lain berdasarkan penampilan dan perwatakan luaran. Ia juga mengingatkan saya bahawa di sebalik setiap wajah yang tegas, mungkin ada cerita yang kaya dan indah yang menunggu untuk dikongsi.