Lesson 1 of 1
In Progress

Kejadian Pada Suatu Malam

Xerra October 25, 2023

Pada suatu malam, saya tamat kelas tuisyen setengah jam lewat kerana sibuk menyiapkan karangan. Perut saya sudah mula berbunyi kelaparan, maka saya memutuskan untuk mengambil jalan pintas balik ke rumah.

Malam itu seolah-olah diselubungi dakwat. Saya berjalan dengan cepat melalui jalan kecil dengan deretan pokok di kiri dan kanan. Dahan-dahan pokok berhayun dengan tiupan angin seolah-olah melambai kepada saya. Perasaan takut mula menyelubungi diri saya. Saya mempercepatkan langkah kaki.

Jalan kecil itu membawa saya berdekatan dengan sebuah rumah lama yang sedang reput. Pada saat itu, bulan melemparkan cahayanya ke arah rangka rumah yang kian runtuh itu. Tingkap yang terbuka kelihatan seperti rongga mata. Pintu yang terbuka kelihatan seperti lubang mulut yang ternganga. Rata-rata, rumah usang itu kelihatan seperti kepala raksasa yang menakutkan.

Perasaan seram melanda apabila saya terdengar bunyi tangisan dari rumah using itu. Fikiran pertama yang tercetus di kepala ialah untuk berangkat kaki dengan segera. Namun, perasaan curiga terdetik di hati. Dengan hati yang berat, saya menghampiri rumah usang itu untuk menyiasat.

Setibanya di pintu depan, saya melihat sekeliling. Bayang-bayang menari di dinding dan angin berbisik melalui tetingkap yang pecah. Hati saya berdentum seperti dram. Bunyi tangisan yang sayu bertambah kuat. Berikutan bunyi itu, saya menjejakkan kaki ke dalam ruang tamu. Di suatu sudut yang sarat dengan sarang labah-labah, saya menemui sebuah kotak kadbod. Tiga ekor anak kucing berkumpul bersama dalam ketakutan di dalam kotak kadbod itu. saya terintai badan si ibu yang tidak bernafas lagi beberapa meter dari situ.

Saya berasa kasihan terhadap anak-anak kucing itu dan terus memutuskan untuk menerima mereka. Tanpa teragak-agak, saya mengambil anak-anak kucing itu pulang ke rumah sebagai haiwan peliharaan saya. Apabila tiba di rumah, saya sempat merenung kejadian malam itu. Walaupun diselubungi kegelapan malam, kita sebagai manusia mampu memancarkan harapan yang menerangi kehidupan makhluk yang lebih lemah dari kita.